TARIKH AKHIR MASUK MARKAH UK 1, 2014

Tarikh akhir kemasukan markah untuk Ujian Kurikulum 1, 2014 ke dalam SAPS bagi subjek-subjek Tingkatan 4 & 5 ialah pada/sebelum 3 APRIL 2014.

Untuk kemasukan markah ke dalam sistem ISIS bagi subjek-subjek dari Tingkatan 1-5 ialah pada/sebelum 4 APRIL 2014.

Harap maklum.
BUKU PENTAKSIRAN KBAT 2014

Lembaga Peperiksaan Malaysia melalui laman webnya telah menyiarkan satu pautan kepada e-book boleh DOWNLOAD dengan tajuk "Buku Pentaksiran KBAT 2014". Fail dengan saiz 106 MB tersebut merupakan e-book kepada bentuk pentaksiran KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) yang khabarnya bakal mula akan dijalankan pada peperiksaan pada tahun ini.



Tidak banyak perkara yang dinyatakan dalam siaran LPM. Hanya yang disertakan adalah pautan kepada e-book ini.  

Oleh kerana unsur KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) ini akan mula diterapkan dalam bentuk-bentuk soalan peperiksaan bermula tahun ini. Maka saya sangat mencadangkan agar rakan guru, ibu bapa yang prihatin dan juga para pelajar yang disayangi untuk download dan baca e-book ini. InshaAllah membantu anda untuk memahami bentuk soalan yang bakal ditanyakan kemudian hari nanti.

e-Book ini mengandungi 3 bab dengan 177 muka surat untuk dibaca. Bab 1 lebih memfokuskan kepada maksud dan definisi kepada perkataan dan istilah-istilah baru yang digunakan dan dimaksudkan. Bab 2 rasanya lebih penting dengan mengandungi panduan menulis item (soalan KBAT) dan juga untuk menilai dengan rubrik pemarkahan yang sesuai. Manakala bab akhir pula hanyalah mengandungi aktiviti untuk menguji kefahaman pembaca kepada KBAT.

Bab 1 : Pentaksiran
Konsep pentaksiran, ciri pentaksiran, kesahan dan kebolehpercayaan, konstruk, konteks, aras kesukaran, kata tugas, respons murid, item, peraturan pemarkahan

Bab 2 : Penulisan Item Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
Penulisan item, piawaian penulis item, idea penulisan item, definisi kemahiran berfikir aras tinggi, konsep item mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi, ciri item kemahiran berfikir aras tinggi, prinsip pembinaan dan penilaian item KBAT.

Bab 3 : Aktiviti Pengukuhan
Bab ini mengandungi beberapa contoh soalan daripada pelbagai subjek. Guru diberi peluang untuk cuba menentukan konstruk, konteks, aras kesukaran, dan kategori item sama ada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi atau Kemahiran Berfikir Aras Rendah.


Kredit kepada blog http://www.cikguhailmi.com

PBS DITANGGUHKAN !

KUALA LUMPUR : Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ditangguhkan sehingga ia dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS sedang dijalankan dan cadangan penambahbaikan akan dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk keputusan.

“Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Khair berkata, selaras dengan arahan Menteri Pendidikan supaya kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS, KPM mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya supaya dapat mengurangkan bebanan tugas guru.

“Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara yang membabitkan kekerapan guru memasukkan data berkaitan eviden dan pencapaian murid, termasuk juga pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru,” katanya.

Dr Khair berkata, di samping memastikan kajian dan penelitiannya dilaksana secara berkesan, KPM juga mengambil beberapa langkah segera bagi menanganinya termasuk menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari ini bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

Beliau berkata, KPM juga akan mengadakan bengkel membabitkan guru termasuk kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap pelaksanaan PBS.
“Bengkel berkenaan akan dilaksanakan pada awal dan pertengahan Februari ini dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam tempoh terdekat.

“Selain itu, pihak KPM akan menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS,” katanya.

Sementara itu, bagi menangani isu berbangkit berkaitan PBS dengan segera dan berkesan, KPM akan mewujudkan ‘war room’ PBS di peringkat KPM.

“Usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem berkenaan secara lebih mudah dan berkesan.

“Semua tindakan berkenaan diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama, mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya,” katanya.
KAJIAN RINTIS PBS
PENTAKSIRAN PUSAT BAGI MATA PELAJARAN SAINS
2014

Tarikh :  22 Januari 2014
Masa :  8.30 pagi
Tempat :  Bilik Matematik, SMSJ
Sasaran :  2 orang guru Sains & 15 orang pelajar Tingkatan 4

Pn Mastura & Pn Norafida sedang berbincang mengenai rubrik jawapan

Pelajar-pelajar lelaki yang terlibat

Pelajar-pelajar perempuan sedang tekun menjawab soalan



Apa itu Ujian TIMSS dan PISA ?

TIMSS dan PISA sebenarnya bukan ujian tetapi adalah suatu kajian yang dijalankan oleh organisasi antarabangsa untuk menilai dan membandingkan kualiti tentang pendidikan sesebuah negara. Kajian ini juga membantu negara-negara di seluruh dunia untuk meningkatkan pembelajaran dalam Sains dan Matematik

Ujian PISA adalah merupakan akronim kepada Programme International Student Assessment yang diperkenalkan oleh OECD (Organisation For Economic Co-operation and Development). Ujian ini diadakan 3 tahun sekali bermula pada tahun 2000, dan negara kita Malaysia mula menyertainya pada tahun 2009. 


PISA 2012 merupakan kajian ke-5 yang diadakan. Ujian ini adalah bagi menguji tahap penguasaan remaja berusia 15 tahun terhadap keupayaan membaca, Sains dan Matematik. Sebanyak 65 buah negara terlibat pada Ujian PISA 2012, dengan hampir seramai 510 000 pelajar terlibat.

Ujian berlangsung selama 2 jam. Ujian terdiri daripada gabungan soalan terbuka (open-ended) dan juga soalan pelbagai pilihan jawapan (multiple-choice).

Ada dua lagi ujian atau pun kajian yang juga berkaitan dengan PISA, iaitu TIMSS dan PIRLS.

TIMSS adalah singkatan kepada Trends in International Mathematics and Science Study, dan PIRLS adalah singkatan kepada Progress in International Reading Literacy Study. Boleh dikatakan bahawa Ujian PISA adalah gabungan kepada dua ujian/kajian ini.

Bezanya, TIMSS diadakan bagi mengkaji penguasaan pelajar antarabangsa dalam subjek Matematik dan Sains sahaja. Dan juga TIMSS dilaksanakan 4 tahun sekali.


Antara negara-negara yang sering mengungguli Ujian PISA ini adalah Finland, Korea, Hong Kong, Jepun, Shanghai (China) serta Singapura. Disebabkan itu jugalah negara-negara ini sering dijadikan rujukan bagi sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia, terutamanya sistem pendidikan negara Finland.

Ujian PISA yang terkini pada tahun 2012 juga mendapati Shanghai (China), Hong Kong dan Singapura merupakan tiga negara yang mendapat kedudukan tertinggi dalam ujian membaca, Sains dan Matematik.

Manakala kedudukan Malaysia dalam Ujian PISA adalah seperti berikut: Sumber

2009 :
Matematik - 57 (mata 404)
Sains - 53 (mata 422)
Membaca - 55 (mata 414)

2012 :
Matematik - 52 (mata 421)
Sains - 53 (mata 420)
Membaca - 59 (mata 398)

Jika diperhatikan daripada segi mata yang diperolehi oleh pelajar dari Malaysia, jelas menunjukkan penurunan bagi subjek Sains dan Membaca.

Video ini boleh membantu anda memahami apa itu Ujian PISA

Dikatakan ada 3 faktor yang menyumbang kepada keputusan ini, iaitu sikap pelajar yang tidak menjawab dengan bersungguh-sungguh, format soalan PISA yang berbeza daripada format soalan peperiksaan Malaysia yang lebih ringkas dan keutamaan guru dalam menghabiskan sukatan berbanding menerangkan konsep sebenar pengetahuan. 

Untuk itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah merancang beberapa strategi bagi mengatasi masalah ini. Sumber

1. KSSR / KSSM
Elemen baharu, iaitu inovasi dan kreativiti dengan subjek keusahawanan dan teknologi maklumat komunikasi (ICT). KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) diperkenalkan pada tahun Januari 2011 dan akan diteruskan dengan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) pada tahun 2017.

2. i-Think
Kerjasama antara KPM dengan Agensi Inovasi Malaysia. Kaedah pembelajaran dengan menggunakan 8 Peta Pemikiran. Dirintis pada tahun 2012 di 10 buah sekolah, dan dilaksanakan di seluruh Malaysia pada 2014.

3. Kajian Susulan
KPM menjalankan kajian kes di sekolah yang mendapat keputusan yang cemerlang pada Ujian PISA 2009. Hasil dapatan daripada kajian kes tersebut akan dikongsikan sebagai amalan terbaik pengajaran.

4. PPPM
Hasil kajian PISA dan TIMSS juga menjadi input utama dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Ini kerana PISA dan TIMSS merupakan penandaaras kepada pencapaian pelajar seluruh dunia dalam penguasaan Matematik, Sains dan Membaca.

Peperiksaan peringkat sekolah dan kebangsaan akan diubahsuai dengan menambahkan bilangan soalan aras tinggi yang menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

5. Task Force TIMSS dan PISA
Pasukan khas ini ditubuhkan bagi memberi tumpuan dalam meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid dan guru.

Mudah-mudahan artikel mengenai PISA dan TIMSS ini, mampu memberi ruang kepada kita untuk memahami dan menilai semula rasional di sebalik transformasi pendidikan yang sedang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sekiranya anda merasakan artikel ini dapat memahamkan orang lain juga mengenai Ujian PISA dan kaitannya dengan bakal sistem pendidikan negara kita, maka saya sangat mengesyorkan untuk anda kongsi artikel ini.  Terima kasih, semoga kita sama-sama mendapat manfaat!


ICAS 2014

Sebagai salah sebuah sekolah yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi, SMSJ akan terus mengembangkan potensi dan prestasi pelajarnya melalui pelbagai kegiatan di peringkat kebangsaan dan antara bangsa.  Antaranya menyertai International Competitions And Assessments For Schools (ICAS) 2014 iaitu program penilaian bertaraf dunia daripada University of New South Wales Australia. Program ini diikuti oleh jutaan pelajar sekolah dari berbagai negara di dunia dalam waktu serentak. Pertandingan ini meliputi bidang Writing, English, Mathematics, Science, dan Computer Skills.  ICAS memberikan kesempatan kepada para pelajar merangsang ketrampilan mereka dalam  pemikiran kritis, kreatif, komprehensif dan penyelesaian masalah yang diperlukan untuk kecemerlangan di sekolah dan di komuniti yang lebih luas.


Pada tahun ini, pihak sekolah telah meluluskan pembiayaan yuran secara percuma daripada bajet SBT 2014 kepada 10 orang pelajar yang layak bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan English. 

Kepada pelajar-pelajar lain yang berminat bolehlah berhubung terus dengan Pn Siti Mas Aida bt Mesrah (Sains), Pn Hasanah bt Ahmad (Matematik) dan Encik Rozman bin Mohd Sharif (English & Writting).


Sila layari http://www.eats.com.my untuk maklumat lanjut.
TAKLIMAT PBS 
KEPADA IBU BAPA PELAJAR TINGKATAN 1
TAHUN 2014

TARIKH  :  8 JANUARI 2014
MASA :  11.00 PAGI
TEMPAT :  DEWAN SRI KARYAWAN
DISAMPAIKAN OLEH :  PN HJH ZANARIAH BT ABDOL