Apa itu Ujian TIMSS dan PISA ?
TIMSS dan PISA sebenarnya bukan ujian tetapi adalah suatu kajian yang dijalankan oleh organisasi antarabangsa untuk menilai dan membandingkan kualiti tentang pendidikan sesebuah negara. Kajian ini juga membantu negara-negara di seluruh dunia untuk meningkatkan pembelajaran dalam Sains dan Matematik
Ujian PISA adalah merupakan akronim kepada Programme International Student Assessment yang diperkenalkan oleh OECD (Organisation For Economic Co-operation and Development). Ujian ini diadakan 3 tahun sekali bermula pada tahun 2000, dan negara kita Malaysia mula menyertainya pada tahun 2009.
Ujian berlangsung selama 2 jam. Ujian terdiri daripada gabungan soalan terbuka (open-ended) dan juga soalan pelbagai pilihan jawapan (multiple-choice).
Ada dua lagi ujian atau pun kajian yang juga berkaitan dengan PISA, iaitu TIMSS dan PIRLS.
TIMSS adalah singkatan kepada Trends in International Mathematics and Science Study, dan PIRLS adalah singkatan kepada Progress in International Reading Literacy Study. Boleh dikatakan bahawa Ujian PISA adalah gabungan kepada dua ujian/kajian ini.
Bezanya, TIMSS diadakan bagi mengkaji penguasaan pelajar antarabangsa dalam subjek Matematik dan Sains sahaja. Dan juga TIMSS dilaksanakan 4 tahun sekali.
Ujian PISA yang terkini pada tahun 2012 juga mendapati Shanghai (China), Hong Kong dan Singapura merupakan tiga negara yang mendapat kedudukan tertinggi dalam ujian membaca, Sains dan Matematik.
Manakala kedudukan Malaysia dalam Ujian PISA adalah seperti berikut: Sumber
2009 :
Matematik - 57 (mata 404)
Sains - 53 (mata 422)
Membaca - 55 (mata 414)
2012 :
Matematik - 52 (mata 421)
Sains - 53 (mata 420)
Membaca - 59 (mata 398)
Jika diperhatikan daripada segi mata yang diperolehi oleh pelajar dari Malaysia, jelas menunjukkan penurunan bagi subjek Sains dan Membaca.
Video ini boleh membantu anda memahami apa itu Ujian PISA
Dikatakan ada 3 faktor yang menyumbang kepada keputusan ini, iaitu sikap pelajar yang tidak menjawab dengan bersungguh-sungguh, format soalan PISA yang berbeza daripada format soalan peperiksaan Malaysia yang lebih ringkas dan keutamaan guru dalam menghabiskan sukatan berbanding menerangkan konsep sebenar pengetahuan.
Untuk itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah merancang beberapa strategi bagi mengatasi masalah ini. Sumber
1. KSSR / KSSM
Elemen baharu, iaitu inovasi dan kreativiti dengan subjek keusahawanan dan teknologi maklumat komunikasi (ICT). KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) diperkenalkan pada tahun Januari 2011 dan akan diteruskan dengan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) pada tahun 2017.
2. i-Think
Kerjasama antara KPM dengan Agensi Inovasi Malaysia. Kaedah pembelajaran dengan menggunakan 8 Peta Pemikiran. Dirintis pada tahun 2012 di 10 buah sekolah, dan dilaksanakan di seluruh Malaysia pada 2014.
3. Kajian Susulan
KPM menjalankan kajian kes di sekolah yang mendapat keputusan yang cemerlang pada Ujian PISA 2009. Hasil dapatan daripada kajian kes tersebut akan dikongsikan sebagai amalan terbaik pengajaran.
4. PPPM
Hasil kajian PISA dan TIMSS juga menjadi input utama dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Ini kerana PISA dan TIMSS merupakan penandaaras kepada pencapaian pelajar seluruh dunia dalam penguasaan Matematik, Sains dan Membaca.
Peperiksaan peringkat sekolah dan kebangsaan akan diubahsuai dengan menambahkan bilangan soalan aras tinggi yang menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
5. Task Force TIMSS dan PISA
Pasukan khas ini ditubuhkan bagi memberi tumpuan dalam meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid dan guru.
Mudah-mudahan artikel mengenai PISA dan TIMSS ini, mampu memberi ruang kepada kita untuk memahami dan menilai semula rasional di sebalik transformasi pendidikan yang sedang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sekiranya anda merasakan artikel ini dapat memahamkan orang lain juga mengenai Ujian PISA dan kaitannya dengan bakal sistem pendidikan negara kita, maka saya sangat mengesyorkan untuk anda kongsi artikel ini. Terima kasih, semoga kita sama-sama mendapat manfaat!
No comments:
Post a Comment